Blogger Backgrounds

ようこそ . willkommen . 歡迎 . أهلا وسهلا

selamat datang ke blog impervious93..

Friday, November 9, 2012

Laporan Perjumpaan Semula (reunion) Mini-Iftar
Ahli-Ahli Lelaki Impervious93

       Pada 5 Ogos 2012 bersamaan hari Ahad, seramai 30 ahli Impervious93 (lelaki) telah menghadiri program Perjumpaan Semula-Iftar yang bertempat di HR Steakhouse, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Malaysia. 

       Seawal jam 5 petang, sebahagian peserta daripada Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya (selepas ini disebut CFSIIUM) memulakan perjalanan dengan menaiki Bas Metro nombor 12 ke Stesen LRT Jalan Universiti dan kemudiannya menaiki LRT ke Kampung Baru yang menelan belanja tidak sampai 5 ringgit.

       Pada masa yang sama, terdapat juga seorang dua wakil daripada CFSIIUM telah pergi ke Hentian Bas Pekeliling untuk menjemput saudara Jasnie Jainureen yang baru sampai dari Temerloh Bandar Ikan Patin. Ada juga yang datang menaiki kereta Fahmi. Pokoknya, kami semua seramai 30 orang berkumpul di HR Steakhouse pada jam 6.30 petang.

       Pada mulanya, kami masing-masing memesan makanan mengikut citarasa sendiri, walaupun rata-rata antara kami tidak pernah sampai ke HR Steakhouse ini dan tidak tahu akan rupabentuk makanan yang dipesan. Apa kesannya? Nak cerita lah ni. 

       Kami duduk di meja yang digabungkan dan disusun memanjang. Abang pelayan pula meletakkan makanan yang kami pesan di meja yang mula-mula sekali, dengan harapan kami akan menghulurkan makanan tersebut kepada rakan-rakan yang nun dihujung sana. Ya, harapan abang itu menjadi realiti, tetapi masalahnya adalah untuk kami mengetahui apa nama makanan tersebut. Kesudahannya? Kami makan apa jenis makanan yang dihulurkan, dan bayar mengikut apabenda nama yang kami pesan tadi. Tidak mengapa, sekali sekala.

       Selesai berbuka puasa, kami semua berangkat ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk menunaikan solat fardhu Maghrib secara bergilir-gilir. Kemudian kami kembali semula ke HR Steakhouse untuk menonton perlawanan akhir badminton Olimpik antara wakil kebanggaan Malaysia, Dato Lee Chong Wei dan wakil sombong, angkuh dan bongkak dari China, Lin Dan. Perlawanan tersebut berkesudahan Lin Dan menang. Tidak mengapa Datuk Lee Chong Wei, cuba lagi.

       Kira-kira jam 9.30 malam, kami mula beredar pulang. Fahmi terus pulang ke rumah kerana jarak yang agak jauh untuk beliau memandu dari Kampung Baru ke CFSIIUM, manakala yang selebihnya pulang dan pergi ke CFSIIUM untuk bermalam di sini secara haram semalaman. 

       Sesampai sahaja kami di CFSIIUM, kami menyalin pakaian dan turun ke gelanggang yang telah ditempah khas untuk kami bermain di dalamnya. berlaku banyak peristiwa menarik sepanjang kami bermain namun yang paling diingati adalah peristiwa Syafiq Zaimi (penyu gemuk) kekejangan otot di dalam gelanggang yang telah menyebabkan perlawanan tertangguh kira-kira 20 minit.

       Mereka-mereka yang bukan pelajar CFSIIUM berangkat pulang ke destinasi masing-masing pada pagi dan tengahari keesokan harinya.

       Sesungguhnya, aktiviti ini memberi banyak manfaat kepada kami dan kembali mengeratkan hubungan persahabatan yang telah kami jalinkan bak kata pepatah, air yang dicincang takkan putus. semoga aktiviti-aktiviti seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang dengan sasaran lebih ramai yang hadir. sekian terima kasih.

Saya Yang Menjalankan Tugas,
_________
Izzat Emir Hakimi Bin Jasme